3 Adab Bersama Al Quran


 

Melihatkan kepada keadaan dan kehidupan pada zaman yang serba moden ini, semakin hari semakin banyak ditubuhkan sekolah atau pusat pengajian yang menekankan sistem menghafaz al-Quran. Itu suatu petanda yang baik menampakkan kesungguhan ibu bapa menghantar anak-anak ke tempat tersebut dengan harapan anak-anak bukan sahaja menjadi anak yang hafiz dan hafizah, bahkan menjadi. soleh dan solehah.

Menghafaz dan menghayati al-Quran sepenuhnya sangat sukar bagi seseorang muslim. Hanya golongan yang menjadi pilihan Allah SWT sahaja mampu menghafaz dan menghayati Kalam-Nya yang begitu suci, sempurna dan terjaga sehingga ke tahap pengamalan dalam kehidupan harian. Namun ia tidak mustahil bagi kita untuk berusaha dan berdoa kepadaNya agar diri kita ataupun mungkin pasangan kita,atau anak-anak kita termasuk di dalam golongan Jil al-Quran (generasi al-Quran) sebagaimana yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam mendidik para sahabatnya mengenali dan menghayati al-Quran sehingga mereka dikenali dengan ‘Generasi al-Quran.’

 

Bahkan diri baginda SAW juga dikatakan berakhlak al-Quran.

Jadi apakah tips dan kaedah yang boleh mendekatkan diri kepada al-Quran yang mana bukan sekadar membaca sehari-hari tetapi mengambil maksud dan semangat yang terkandung di dalamnya?

 

Terdapat TIGA PERKARA UTAMA dalam menjaga dan mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan al-Quran atau ingin memulakan bacaannya, iaitu:

1) Akal yang sedar (Aql al-Wa’i). Akal yang sedar ini bermaksud,seseorang yang ingin jadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah perlulah sedar bahawa al-Quran itu merupakan firman Allah SWT yang mana kita seharusnya menjaga adab dan tatatertib apabila membacanya.

 

Contohnya, mendahulukan wuduk sebelum membaca al-Quran serta membaca dalam keadaan sempurna, suci daripada najis, duduk dengan tenang dan sopan. Abu A’la Mawdudi ada menyatakan bahawa dalam mendekatkan diri dengan al-Quran perlulah membacanya dengan tadabbur.

 

Menyebut tadabbur, bagaimana pula membaca al-Quran dengan tadabbur?

Antara caranya ialah membaca terjemahan ayat suci al-Quran dan memahami dengan sepenuh hati bahawa al-Quran ini adalah wahyu dan panduan daripada Allah SWT.

 

Apabila akal menyedari akan hakikat itu, natijahnya akan melahirkan sikap rendah hati dan sikap tawaduk, akhirnya apabila membaca al-Quran, hati mudah terasa dan tersentuh dengan makna yang terkandung di dalam al-Quran. Dalam masa yang sama juga akan menterjemahkan apa yang terkandung pada ayat al-Quran tersebut kepada kehidupan seharian kita.

2) Hati yang bersih (Tohirul Qulub). Hati yang bersih dan tenang mampu menjadikan al-Quran sebagai pendidik dan petunjuk kepada kehidupannya. Imam al-Ghazali sering menekankan kepada pembersihan hati kerana hidayah dan pimpinan daripada Allah SWT sentiasa dekat kepada hati yang bersih.

 

Malah, orang yang hatinya bersih dapat menjauhkan dirinya daripada maksiat seperti maksiat mata (zina mata), maksiat lidah (zina mengumpat, menghasut dan mengadu domba) dan maksiat hati (perasaan riak, ujub, angkuh dengan perbuatan baiknya). Untuk mencapai hati yang bersih juga memerlukan proses-proses yang tertentu seperti berdoa agar Allah SWT melindungi kita daripada akhlak mazmumah, muhasabah diri, sentiasa menghadiri majlis ilmu, bersahabat dengan sahabat yang berakhlak mulia dan sebagainya.

3) Kemampuan naluri seseorang berhubung dengan Allah SWT (Fitrah Salimah) iaitu atau dalam erti kata yang lain, apabila seseorang itu akalnya sedar dan hatinya bersih, maka timbulnya perasaan seolah-olah dapat berhubung denganNya sehingga segala sesuatu perbuatan dan sikapnya dihubungkan dengan Allah SWT.

 

Sebagai contohnya; jika suatu musibah besar berlaku ke atas kita, di mana kita telah berdoa dan berusaha sedaya upaya, namun perkara yang tidak kita sukai itu tetap berlaku. Sebagai seorang yang mempunyai ‘Fitrah Salimah’ yang sedar akan segalanya adalah daripada Allah SWT dan Dia berhak untuk menentukan segala sesuatu kepada hambaNya. Seterusnya sedar bahawa Allah berdiri dengan sendiri (Qiyamuhu Bi Nafsihi) seperti disebut dalam sifat 20. Dan juga ‘Kudrat’ Nya ke atas segala sesuatu tanpa dipaksa dan terpaksa.

Inilah yang dikatakan ‘Fitrah Salimah’ sehinggakan ia membawa kita kepada menjadi hambaNya yang bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah SWT dan tetap bersyukur sekalipun tidak mendapat suatu yang diingini dan diimpikan.

Jelas di sini menunjukkan tiga perkara penting yang mungkin boleh kita renungkan dan hayati bersama dalam mendidik dan mendekatkan diri kepada al-Quran yang bukan sekadar kita membaca, menghafaz malah menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Membaca, menghayati dan mendarah dagingkan al-Quran dalam hidup adalah lebih baik daripada menghafaz tanpa dihayati maknanya serta tidak terkesan kepada hati pembacanya.

 

Selamat menghayati al-Quran dan mempraktikkannya!